Skip Navigation LinksSistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB)

Sistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB)

 

Latar Belakang

Koridor Raya Multimedia (MSC) telah dilancarkan pada Tahun 1996. Sebanyak tujuh aplikasi flagship telah ditentukan di bawah MSC pada permulaannya, iaitu eKerajaan, kad serba guna, tele kesihatan, sekolah bestari, R&D Cluster, worldwide manufacturing web dan pemasaran tanpa sempadan. Worldwide manufacturing web dan pemasaran tanpa sempadan telah digabungkan di bawah nama ePerniagaan (eBiz). Pada akhir Tahun 2001, aplikasi flagship kelapan diwujudkan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana, iaitu Technopreneur Development.

Di bawah eKerajaan, sebanyak lima projek perintis telah dikenal pasti pada permulaan, iaitu eKhidmat, ePerolehan, Sistem Pemantauan Projek (SPPll), Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan Generic Office Environment (GOE). Tambahan Electronic Labor Exchange (ELX) telah dimasukkan sebagai projek perintis keenam pada Mei 1999 dan eSyariah sebagai projek perintis ketujuh pada April 2002.

Bagi melengkapkan eKerajaan, Jabatan Akauntan Negara telah mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi pengurusan dan perakaunan kewangan atau dengan ringkasnya dikenali sebagai EGAG.

Sistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Secara Elektronik (eSPKB) yang merupakan aplikasi EGAG perintis telah dilancarkan pada Tahun 2000. eSPKB merupakan satu sistem perakaunan vot berkomputer untuk mengawal belanjawan. eSPKB dibangunkan bertujuan untuk menghubungkan empat daripada enam aplikasi kerajaan elektronik yang melibatkan proses pembayaran dan perakaunan. Empat aplikasi tersebut ialah ePerolehan, eKhidmat, HRMIS dan SPPll.

Ciri-ciri eSPKB

Antara ciri-ciri eSPKB adalah :-

  1. Penyediaan dokumen kewangan melibatkan tiga peringkat iaitu Penyedia, Perakuan l, dan Perakuan ll.

  2. Pengemaskinian buku vot dan penyesuaian akaun dilakukan secara elektronik termasuk perbelanjaan pukal dan gaji.

  3. Dokumen kewangan seperti waran peruntukan, baucar bayaran, penyata pemungut dan baucar jurnal dihantar secara online ke pejabat perakaunan.

  4. Hardcopy dokumen kewangan dan dokumen sokongan disimpan di Pusat Tanggungjawab (PTJ) tetapi proses penyemakan dan kelulusan di Pejabat Perakaunan (PP) dilakukan secara elektronik.

  5. Rekod – rekod jabatan seperti daftar bil dan buku vot yang dibuat secara manual sebelum ini akan dijana secara automatik melalui sistem.

  6. Laporan-laporan harian, jadual dan pilihan boleh dicetak mengikut keperluan dan pada bila–bila masa.

  7. Kedudukan baki peruntukan dapat diketahui pada bila-bila masa.

  8. Ketepatan data kewangan dalam akaun kerajaan lebih terjamin kerana data berpunca dari eSPKB atau aplikasi–aplikasi eKerajaan lain tidak perlu di input semula oleh pejabat perakaunan.

  9. Kawalan ke atas kewangan kerajaan diperketat lagi melalui eSPKB dengan penggunaan kad pintar.

Penerangan mengenai modul dan proses bayaran di eSPKB, sila klik eSPKB

Status Pelaksanaan eSPKB sehingga 30 Jun 2010

Disediakan oleh:

Unit Pelaksanaan
Pejabat Projek Aplikasi Kerajaan Elektronik (EG-AG)

 

Dimuat naik pada : 18 Februari 2011