Jenis-jenis Hasil dan Tunggakan Hasil bagi Kerajaan Persekutuan
Pengenalan
Hasil Kerajaan Persekutuan adalah segala hasil atau wang yang didapatkan atau diterima oleh Kerajaan kecuali kutipan zakat, fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam seumpamanya.
Kerajaan Persekutuan menerima hasil yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil dan hasil Wilayah Persekutuan.
Jumlah hasil yang diterima bagi tahun 2007, 2006 dan 2005 adalah masing-masing RM139,885 juta, RM123,546 juta dan RM106,304 juta. Peningkatan hasil ini adalah disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi negara yang mampan seterusnya menyumbangkan kepada hasil dari cukai pendapatan yang semakin meningkat.
Jenis Hasil
Hasil Cukai
Hasil cukai adalah hasil yang dikutip atas harta atau pendapatan individu, perbadanan, perkongsian dan syarikat berasaskan perundangan yang diluluskan oleh Parlimen. Hasil cukai diklasifikasikan kepada cukai langsung dan cukai tidak langsung.
Cukai langsung adalah cukai yang dikenakan terus ke atas pendapatan dan kekayaan mengikut akta-akta yang diluluskan seperti Akta Cukai Pendapatan 1967. Contoh cukai-cukai tersebut adalah cukai pendapatan, cukai sewa filem, duti harta pusaka, duti setem dan cukai atas keuntungan hartanah. Cukai-cukai ini ditadbir dan dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Dalam tahun 2007, jumlah cukai pendapatan yang dikutip adalah sebanyak RM65,658 juta iaitu 47% dari jumlah hasil yang terdiri daripada komponen utamanya iaitu cukai pendapatan syarikat sebanyak RM32,149 juta, cukai pendapatan individu sebanyak RM11,661 juta dan cukai pendapatan petroleum sebanyak RM20,453 juta. Cukai pendapatan syarikat ini adalah meningkat sebanyak RM5,672 juta (21%) dari tahun 2006. Jumlah cukai langsung yang lain bagi tahun 2007 adalah duti setem sebanyak RM3,404 juta dan cukai ke atas keuntungan hartanah sebanyak RM278 juta.
Cukai tidak langsung pula adalah cukai yang dikenakan secara tidak langsung ke atas individu dan cukai ini hanya dikenakan apabila seseorang individu membeli atau menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Contoh cukai tidak langsung adalah duti eksport, duti import, duti eksais, cukai jualan, cukai jalan dan cukai perkhidmatan. Duti eksport, duti import, duti eksais dan cukai perkhidmatan ditadbir dan dikutip oleh Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja manakala cukai jalan dikutip oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Jumlah kutipan cukai tidak langsung bagi tahun 2007 adalah sebanyak RM25,772 juta iaitu meningkat sebanyak 3% berbanding tahun 2006. Komponen utamanya adalah terdiri daripada duti eksport sebanyak RM2,322 juta, duti import sebanyak RM2,424 juta, duti eksais sebanyak RM7,910 juta, cukai jualan sebanyak RM6,642 juta dan cukai perkhidmatan sebanyak RM3,013 juta.
Hasil cukai adalah penyumbang terbesar kepada jumlah hasil Kerajaan Persekutuan iaitu 68% (RM95,168 juta) berbanding jumlah hasil keseluruhan sebanyak RM139,885 juta pada tahun 2007.
Hasil Bukan Cukai
Hasil bukan cukai adalah hasil yang dikutip dari perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan kepada rakyat. Hasil bukan cukai termasuklah kenaan bayaran daripada kelulusan permit, yuran perkhidmatan, jualan perkhidmatan, jualan barang dan harta, sewa dan hasil dari pelaburan. Kadar-kadar bayaran yang dikenakan adalah berasaskan kepada akta-akta tertentu yang diluluskan di Parlimen.
Jumlah hasil bukan cukai yang dikutip dalam tahun 2007 adalah sebanyak RM43,950 juta iaitu 31% daripada jumlah keseluruhan hasil. Berbanding dengan tahun-tahun 2006 dan 2005 jumlah hasil bukan cukai adalah sebanyak RM36,005 juta dan RM25,052 juta masing-masingnya.
Terimaan Bukan Hasil
Terimaan bukan hasil terdiri dari semua pulangan balik perbelanjaan. Contohnya terimaan daripada kumpulan wang amanah yang berlebihan, kredit antara jabatan, pulangan balik bayaran yang lebih dan bayaran pelarasan dalam tahun-tahun kewangan yang lalu.
Hasil Wilayah Persekutuan
Hasil Wilayah Persekutuan pula adalah terdiri dari hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut bagi pihak Wilayah Persekutuan. Contohnya adalah hasil daripada kedai tuak, hasil daripada tanah, lombong dan hutan dan hasil daripada lesen-lesen.
Pada tahun 2007, terimaan bukan hasil dan hasil Wilayah Persekutuan hanya menyumbang sebanyak 1% kepada jumlah hasil negara iaitu sebanyak RM767 juta. Berbanding pada tahun 2006 jumlahnya adalah RM911 juta dan RM657 juta pada tahun 2005.
Tunggakan Hasil
Di dalam menguruskan pungutan hasil-hasil tersebut, Kerajaan menghadapi masalah tunggakan hasil yang cukup signifikan dan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan pada tahun 2007, sebanyak 57 kementerian/jabatan persekutuan mempunyai tunggakan hasil berjumlah RM14.08 bilion dan RM9.48 bilion daripada jumlah tersebut adalah melebihi 3 tahun. Manakala bagi tahun 2006, jumlah tunggakan hasil adalah RM14.62 bilion dan daripada jumlah tersebut RM9.23 bilion telah tertunggak melebihi 3 tahun. Bagi tahun 2005 pula, jumlah tunggakan hasil adalah RM12.06 bilion dan RM9.43 bilion pada tahun 2004.
Jumlah tunggakan hasil ini cukup signifikan dan merugikan Negara. Jika dibandingkan dengan hasil pada tahun 2007 yang berjumlah RM139.89 bilion, jumlah tunggakan hasil ini adalah lebih kurang 9% daripada hasil yang sepatutnya diterima.
Kelemahan Pengurusan Tunggakan Hasil
Peningkatan jumlah tunggakan hasil ini mencerminkan kelemahan di dalam pengurusan tunggakan hasil. Beberapa kelemahannya di peringkat Kementerian/jabatan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan Perbendaharaan Malaysia yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam tahun 2007 adalah seperti berikut:-
Kesilapan Kementerian/Jabatan melaporkan tunggakan hasil pada akhir tahun disebabkan oleh rekod yang tidak lengkap dan tidak kemas kini.
Penyata Tahunan Tunggakan Hasil yang disediakan oleh Jabatan Akauntan Negara (JANM) didapati tidak tepat kerana JANM hanya menyatukan Penyata Tahunan Tunggakan Hasil yang diterima daripada Kementerian/Jabatan tanpa menyemak ketepatannya terlebih dahulu.
Di peringkat Perbendaharaan Malaysia, kelemahannya adalah berhubung dengan pertimbangan permohonan hapus kira tunggakan hasil yang mengambil tempoh yang panjang. Rekod mengenainya juga tidak di selenggara dengan lengkap dan tidak kemas kini.
Langkah Untuk Mengatasi
Bagi memperbaiki pengurusan tunggakan hasil, beberapa tindakan telah diambil oleh Kerajaan seperti mengeluarkan pekeliling-pekeliling baru yang lebih komprehensif dan kemas kini.
Di antaranya ialah Perbendaharaan Malaysia telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan Bil 3 Tahun 2008 : Garis Panduan Untuk Penyenggaraan Dan Pelaporan Akaun Belum Terima (ABT) bagi menggantikan Pekeliling Perbendaharaan Bil 7 Tahun 1986 dan berkuat kuasa bagi pelaporan ABT mulai tahun kewangan 2008. Melalui pekeliling ini, pemungut perlu menyenggara rekod-rekod ABT termasuklah tunggakan hasil dengan lengkap dan kemas kini. Selain itu tatacara ABT yang merangkumi perkara-perkara berikut perlu diwujudkan:-
Tatacara hendaklah mempunyai sistem yang berkesan bagi mengemas kini rekod ABT dengan tepat;
Tatacara hendaklah membolehkan penyemakan semula dan tindakan susulan terhadap amaun yang masih belum dijelaskan;
Tatacara hendaklah memudahkan penyediaan laporan ke atas jumlah ABT yang sebenarnya; dan
Tatacara untuk menghapus kira hutang lapuk perlu selaras dengan Arahan Perbendaharaan dan pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Pekeliling ini juga menghendaki semua pemungut melaporkan ABT kepada Pegawai Pengawal sebulan selepas 30 Jun dan 31 Disember setiap tahun. Pegawai Pengawal perlu menyatukan maklumat berkenaan dan mengemukakan laporan seperti pada 30 Jun dan 31 Disember secara menyeluruh dan lengkap bagi agensi di bawah kawalannya kepada Akauntan Negara Malaysia dengan salinannya kepada Ketua Audit Negara dan Bahagian Kawalan dan Pemantauan, Perbendaharaan Malaysia. Agensi yang tidak mempunyai ABT pada tarikh laporan, dikehendaki mengemukakan penyata yang memaklumkan tiada ABT pada tempoh tersebut.
Semua laporan ABT pada 30 Jun hendaklah dikemukakan kepada Akauntan Negara Malaysia selewat-lewatnya 31 Ogos tahun semasa. Manakala laporan ABT pada 31 Disember perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 28 Februari tahun berikutnya.
Semua laporan yang disediakan perlulah mengikut format yang telah dinyatakan bagi memudahkan analisa dan tindakan selanjutnya diambil.
Selain itu, Pekeliling Perbendaharaan Bil 13 Tahun 2008: Pengurusan Kehilangan dan Hapus Kira Wang Awam bagi menambah baik Pekeliling Perbendaharaan Bil 3 Tahun 1990 telah dikeluarkan dan berkuat kuasa mulai 17 November 2008.
Pekeliling ini adalah sebagai penjelasan kepada Arahan Perbendaharaan supaya pengurusan kehilangan dan hapus kira wang awam termasuk tunggakan hasil dikendalikan dengan teratur dan sempurna.
Menurut pekeliling ini, laporan hasil yang pastinya tidak dapat dikutip dan yang melebihi tempoh 6 tahun perlu dilaporkan kepada Pegawai Pengawal untuk kelulusan hapus kira. Pegawai Pengawal hanya perlu memanjangkan laporan tersebut kepada Perbendaharaan jika ianya mengandungi tindakan (surcaj) kepada sesuatu Kementerian/Jabatan/Pegawai bertanggungjawab selepas kelulusan.
Kelulusan hapus kira boleh dilakukan oleh Pegawai Pengawal seperti yang dinyatakan melalui Perwakilan kuasa P.U (B) 436 dan proses hapus kira tunggakan hasil akan lebih cepat tanpa perlu dihantar kepada Perbendaharaan.
Penutup
Hasil Kerajaan Persekutuan datangnya dari segala hasil dan pendapatan kecuali zakat, fitrah dan hasil Baitulmal yang lain. Pengurusan jenis-jenis hasil yang diterima perlu lebih efisien supaya jumlah tunggakan hasil tidak bertambah dari semasa ke semasa.
Amnya, Kerajaan telah mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi masalah tunggakan hasil dengan mengemas kini peraturan semasa. Oleh yang demikian, pemungut perlu mengurus dan mentadbir tunggakan hasil yang ada kini dengan mematuhi undang-undang dan peraturan semasa bagi menjamin peningkatan hasil negara dan berkurangnya tunggakan hasil.
Rujukan
- Arahan Perbendaharaan.
- Akaun Awam Persekutuan 2007.
- Akaun Awam Persekutuan 2006.
- Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2007.
- Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2006.
- Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 3 Tahun 2008.
- Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 2008.
Disediakan oleh:
Maziah binti Musa
Institut Perakaunan Negara (IPN)
Dimuat naik pada : 12 Mac 2012
Penafian: Penulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan ianya tidak menggmbarkan pendirian JANM.