Faktor tekanan di tempat kerja
Pendahuluan
Kebelakangan ini, hampir setiap orang bercakap mengenai tekanan. Kita bukan hanya dapat mendengarnya melalui perbualan harian tetapi juga dapat mendengar dan mengetahuinya melalui televisyen, radio, surat khabar dan di dalam persidangan-persidangan, di dalam institusi-institusi dan dalam kursus-kursus di universiti yang menjurus ke arah topik tekanan. Pernyataan ini disokong oleh ramai para sarjana yang menyatakan tekanan adalah merupakan satu realiti yang tidak dapat dielak dalam kebanyakan persekitaran pekerjaan. Tekanan sudah dianggap sebahagian daripada perkara yang harus ditempuhi di dalam kehidupan dan ada yang mengatakan tekanan adalah rempah ratus kehidupan pada masa kini.
Tekanan kerja telah menjadi satu perkara atau bidang keutamaan yang bukan sahaja diperkatakan dalam sektor akademik tetapi juga dalam sektor industri dan juga sektor kerajaan. Tekanan kerja semakin menjadi perhatian kepada majikan-majikan dan kerajaan sejak lebih daripada 20 tahun. Dewasa ini, tekanan telah menjadi satu agenda yang utama kerana ianya berpotensi memberikan kos kepada individu dan juga organisasi dalam melaksanakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja dan tekanan juga berisiko untuk mendatangkan pelbagai kerosakan. Tekanan berkaitan kerja pada masa kini adalah cabaran terbesar terhadap aspek kesihatan orang-orang yang bekerja dan aspek kesejahteraan bekerja di dalam sesebuah organisasi. Adalah dilaporkan bahawa kos yang berkaitan dengan tekanan sangat besar di mana organisasi-organisasi yang terlibat kehilangan di antara US$100 hingga US$300 bilion setahun. Kos-kos ini termasuklah ketidakhadiran bertugas, kemalangan, perbelanjaan kesihatan dan penurunan dalam produktiviti.
Definisi Tekanan
Menurut Kamus Dewan (1999), tekanan membawa maksud sesuatu desakan atau paksaan yang diterima oleh seseorang. Manakala kamus Oxford Advanced Leaner’s (1983) mendefinisikan tekanan atau dalam Bahasa Inggerisnya stresssebagai pressure; condition causing hardship, disquiet.
Seyle (1964) adalah orang yang pertama menggunakan terma ’tekanan’ mendefinisikannya sebagai satu set fizikal dan psikologikal yang bertindak balas kepada keadaan dan pengaruh yang sebaliknya.
Menurut Dr Fariza Md Sham (2007), Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM mendefinisikan tekanan mengikut bahasa Arab disebut sebagai dhagt yang bermakna jiwa yang mengalami pergolakan dan kegelisahan amat dalam. Beliau juga mendefinisikan tekanan mengikut kamus Human Behaviour sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk sesuatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang mengendalikan sesuatu keadaan. Manakala kamus Behavioral Science mendefinisikan tekanan sebagai satu keadaan fizikal atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi.
Penemuan Mengenai Konsep Tekanan
Kajian mengenai konsep tekanan telah diperkenalkan oleh Hans Selye bermula dalam tahun 1930an. Hans Selye, seorang penyelidik yang ternama di abad ke 20 telah menyumbangkan satu konsep yang fundamental kepada pemahaman dalam penyakit berkaitan tekanan. Dalam tahun 1924, sebagai seorang pelajar perubatan tahun kedua, beliau pertama kalinya telah mengenal pasti satu keadaan atau sindrom yang ditunjukkan oleh pesakit-pesakit yang sedang menderitai berbagai-bagai jenis penyakit dan memanggil keadaan ini sebagai ’sindrom baru jatuh sakit’ (syndrome of just being sick). (Selye,1974). Dengan sindrom baru jatuh sakit ini, Selye telah menjalankan ujikaji pelbagai stimulus tekanan ke atas haiwan makmal dan menemui tiga peringkat tekanan yang dipanggil sindrom adaptasi am atau GAS(General Adaptation Syndrome). Tiga peringkat tersebut ialah peringatan atau amaran (alarm phase), penolakan(resistance phase) dan keletihan (exhaustion phase). Tanda-tanda peringkat amaran telah berlaku sebagai contohnya ialah apabila badan mengeluarkan adrenalin, ketegangan otot, peningkatan kadar degupan jantung dan peningkatan tekanan darah. Peringkat penolakan berlaku ialah apabila badan berusaha untuk melawan tekanan dan puncanya dan peringkat keletihan ialah apabila penolakan berhenti, jatuh sakit atau kematian.
Faktor atau Punca Tekanan Kerja
Para penyelidik telah mengenal pasti dan mengkategorikan punca-punca tekanan kerja kepada beberapa faktor. Mereka telah mengkategorikan punca-punca tekanan kerja kepada lima faktor iaitu intrinsik kepada pekerjaan, peranan individu dalam organisasi, pembangunan kerjaya, perhubungan di tempat kerja , struktur dan iklim organisasi.
Selain itu, terdapat beberapa faktor yang berpotensi mewujudkan tekanan kerja seperti faktor individu, organisasi dan persekitaran. Faktor-faktor tersebut boleh mendatangkan kesan kepada tahap tekanan di kalangan pekerja dalam sesebuah organisasi. Tekanan boleh memberikan kesan positif dan negatif kepada pekerja dan organisasi. Kesan positif tekanan akan menghasilkan satu dorongan atau motivasi untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti. Kesan negatif pula boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja dan organisasi secara keseluruhannya.
Seterusnya, faktor-faktor yang menjadi punca kepada tekanan kerja iaitu faktor intrinsik kerja, peranan dalam organisasi, hubungan di tempat kerja, pembangunan kerjaya, struktur dan iklim organisasi dan hubungan rumah dengan kerja. Faktor intrinsik kerja ialah keadaan kerja, risiko dan budaya kerja, masa bekerja yang lama, perjalanan, beban kerja yang berlebihan dan penggunaan teknologi baru. Persekitaran fizikal seperti kualiti udara, cahaya, hiasan, kebersihan, kebisingan, perabot dan ruang bekerja juga boleh memberi kesan ke atas minda seseorang dan akhirnya boleh menyebabkan tekanan kerja.
Gejala Tekanan Kerja
Tekanan kerja yang berterusan yang dialami oleh seseorang itu boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada individu yang terlibat. Tekanan kerja boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu kesan yang mempunyai simptom ke atas fisiologikal, psikologikal dan tingkah laku. Kesan dan simptom fisiologikal ini pula dibahagikan kepada kesan jangka pendek seperti sakit kepala dan kesan jangka panjang seperti ulser, tekanan darah tinggi dan serangan jantung serta kesan tidak menentu seperti mengalami perut berasid. Kesan psikologikal pula seperti mengalami apathi, menjadi pelupa, perasaan ketidakpuasan hati dan terganggu. Manakala kesan dari segi tingkah laku di antaranya ialah kehilangan selera makan, kekurangan atau pertambahan berat badan, perubahan dalam tabiat merokok, perubahan dalam tabiat meminum minuman keras dan perubahan mendadak dari segi rupa diri.
Perlu diketahui bahawa hampir semua sistem dalam badan terlibat untuk bertindak balas terhadap tekanan. Walau bagaimanapun, tindak balas oleh sistem kardiovascular, penghadaman, otot-otot adalah yang paling ketara. Tindak balas ini dikenali sebagai melawan atau menghindar. Tanpa mengira jenis tekanan yang dialami, badan bertindak balas dengan cara yang serupa iaitu penyaluran darah yang meningkat kepada jantung dan otot-otot, meningkatkan tekanan darah dan mengeluarkan adrenalin ke dalam sistem badan. Sistem penghadaman menjadi perlahan manakala otot-otot menjadi tegang bersedia untuk bertindak atau melawan.
Dari segi kesan atau impak, gejala tekanan boleh diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu kesan kepada individu dan kesan kepada organisasi. Kesan kepada individu pula dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kesihatan, psikologi dan tingkah laku. Kesan kepada kesihatan ialah seperti mengidap penyakit jantung, strok, sakit belakang, ulcer, sakit kepala dan penyakit kulit. Kesan psikologi ialah masalah keluarga, gangguan tidur, masalah seksual dan kemurungan. Kesan kepada tingkah laku adalah seperti kuat merokok, mengambil minuman keras yang berlebihan, penyalahgunaan dadah, keganasan dan kehilangan atau pertambahan selera makan yang mendadak. Manakala kesan ke atas organisasi pula ialah ponteng kerja, penurunan dalam prestasi kerja, motivasi menurun, tiada kepuasan atau keseronokan bekerja dan permusuhan sesama pekerja.
Penutup Dan Kesimpulan
Sehubungan dengan gejala atau kesan-kesan tekanan kerja seperti yang dihuraikan di atas, kita juga dapati media massa sering memaparkan berita-berita keganasan di jalan raya, dalam rumah tangga dan di pejabat yang dilaporkan berlaku kerana gagal mengawal emosi akibat tekanan. Sebagai contoh terdapat segelintir golongan pendidik yang bertindak di luar kawalan sehingga sanggup memukul dan mendera pelajar. Keadaan menjadi semakin teruk dan serius apabila golongan terbabit menghadapi masalah mengawal desakan dalam diri sekali gus mendorong mereka menjadi cepat melenting, panas baran dan membelasah pelajar. Faktor persekitaran termasuk bebanan kerja dan tekanan emosi didapati telah menjadi punca kepada tindakan di luar kawalan tersebut.
Berita mengenai kematian pelajar Malaysia di Mesir, Mohamad Ishak kerana disyaki dibunuh oleh rakan senegara dan dipercayai terlalu tertekan, menggemparkan masyarakat dunia dan Malaysia khasnya. Peristiwa tragis ini bukan kes pertama membabitkan pembunuhan akibat masalah tekanan hidup, malah banyak kes-kes ngeri lain seperti rompakan bersenjata, samun, rogol dan sebagainya yang dilakukan berpunca dari tekanan emosi dan tekanan hidup.
Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja telah menjadi satu isu penting yang perlu dikawal dan diuruskan secara bijaksana, berhati-hati dan berhemah oleh semua pihak supaya ia tidak menjadi duri dalam daging dalam perkhidmatan awam dan swasta di negara ini. Isu tekanan kerja bukanlah perkara yang terpencil kerana ianya berlaku di sektor awam, swasta dan NGOs. Manakala tekanan dan punca-punca tekanan yang dialami oleh kakitangan di ketiga-tiga sektor tersebut mungkin berbeza dari segi tahapnya sama ada rendah atau tinggi Walau bagaimanapun, kesan dari tekanan kerja yang dialami yang kebanyakannya berbentuk distress adalah hampir sama iaitu menyebabkan penurunan dalam prestasi kerja dan produktiviti, kemurungan, gangguan kesihatan, masalah disiplin yang kronik seperti ingkar arahan, ponteng kerja, gagal mengawal emosi dan sebagainya. Justeru itu, isu ini perlu ditangani dengan kaedah yang terbaik oleh semua pihak bagi mengelakkan ianya menjadi gejala yang tidak terkawal dan dalam konteks perkhidmatan awam pihak pengurusan tertinggi perlu mengurus dan menangani tekanan kerja yang dialami oleh anggota perkhidmatan awam dengan bijaksana demi memastikan prestasi dan pencapaian dapat dilunaskan kepada rakyat seperti yang dijanjikan.
RUJUKAN
- Bailey, R. (1991). Employee Stress Counselling at Work. Training and Development(February).
- Beehr, T.A. & Newman, J.E. (1978). Job Stress, employee health and organizational effectiveness: a facet analysis, model, and literature review. Personnel Psychology, Vol. 31 No. 4, 665-699.
- Berita Harian, 19 Julai 2007.
- Cooper, C. L. (1983). Stress Research: Issues for the Eighties. USA: John Wiley & Sons, Inc.
- Cox, T. Griffiths, A. & Rial-Gonzales, R. (2000). Research of Work-Related Stress.European Agency for Safety and Health at Work, Luxemburg, Belgium. Dipetik pada Oktober 20, 2007 dari http://www.osha.eu.int
- Earnshaw, J. & Cooper, C. L. (1996). Stress and Employer Liability. Institute ofPersonnel and Development.
- Everly, G. S. Jr. & Girdano, D. A. (1980). The Stress Mess Solution: The Causes and Cures of Stress on the Job. Brady Company,Bowie,MD.
- Fevre, M. L., Matheny, J. & Kolt, G. S. (2003). Eustress, distress, and interpretation in occupational stress. Journal of Managerial Psychology, Vol. 18 No. 7, 726-744.
- Harian Metro bertarikh30 April, 2007, mukasurat8.
- Kamus Dewan (1999). Edisi Ke 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Nasurdin, A. M., Ramayah, T. & Yeoh, C. B. (2006). Organizational Structure and Organizational Climate as Potential Predictors of Job Stress: Evidence From Malaysia. International Journal of Commerce & Management. Vol. 16 No. 2, 116-129.
- Quick, J. C., & Quick, J. D. (1984). Organizational Stress & Preventive Management. USA: McGraw-Hill.
- Seyle, H. (1936). The Stress of Life. New York: McGraw Hill.
- Stevenson, D. (2000). Management Research News: Volume 23 No. 12 (2000).
Disediakan oleh:
Zaharin Bin Hj Othman
Institut Perakaunan Negara (IPN)
Dimuat naik pada : 12 Mac 2010
Penafian: Penulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan ianya tidak menggambarkan pendirian JANM.