Sign In
Artikel

Maklumat am Wang Tak Dituntut (WTD)

 

Pendaftar Wang Tak Dituntut

Menteri Kewangan telah melantik Akauntan Negara Malaysia sebagai Pendaftar Wang Tak Dituntut sejak 1 Jun 1975. Peranan utama Pendaftar adalah:

  1. Pemegang amanah terhadap Wang Tak Dituntut (WTD) yang diterima.

  2. Membayar balik WTD kepada empunya WTD sekiranya terdapat permohonan tuntutan.

  3. Memeriksa rekod syarikat atau firma bagi memastikan kepatuhan peruntukan Akta.

  4. Mencadangkan kompaun dan hukuman denda terhadap syarikat atau firma yang gagal mematuhi peruntukan Akta.

Syarikat atau Firma yang wajid mematuhi Akta

Menurut seksyen 8 Akta WTD 1965, syarikat atau firma yang wajid mematuhi Akta ialah:

  1. Syarikat yang ditubuhkan di bawah peruntukan Akta Syarikat 1965, termasuk syarikat asing yang ditetapkan di bawah Bab 2 Bahagian XI Akta tersebut;

  2. Lembaga yang ditubuhkan untuk menguruskan kumpulan wang berkaitan dengan faedah-faedah persaraan;

  3. Pertubuhan dan koperasi yang didaftarkan;

  4. Perbadanan, pihak berkuasa awam dan kesatuan sekerja; dan

  5. Firma iaitu pihak-pihak yang bersatu bagi menjalankan perniagaan.

Seksyen 14 Akta WTD 1965 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang mempunyai wang, selain daripada WTD dalam tangan yang belum dituntut oleh empunya, boleh menyerahkan wang tersebut kepada Pendaftar seolah-olah wang tersebut adalah WTD yang perlu dibayar walaupun beliau tidak wajib untuk berbuat demikianmenurut Akta.

Perihal Wang Tak Dituntut

Menurut Seksyen 8 Akta WTD 1965 terbahagi kepada tiga kategori:

  1. Wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayarkan dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun. Contoh di bawah kategori ini ialah:

    • Gaji, upah,bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayarkan kepada kakitangan.
    • Dividen dan keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan.
    • Tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran.
    • Draf bank, cashier’s order dan dokumen lain yang mempunyai fungsi serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput.
    • Cagaran dan deposit di mana tujuan wang itu dikutip telah pun dicapai.
    • Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang.
    • Pemiutang atau penghutang pelbagai.
  2. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekali pun dalam satu tempoh tidak kurang dari tujuh tahun. Contoh di bawah kategori ini ialah:

    • Akaun simpanan.
    • Akaun Semasa.
    • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).
  3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga bagi satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun.

Kategori ini merujuk kepada akaun pemiutang dan penghutang perdagangan.

Kewajipan Syarikat atau Firma

  1. Syarikat atau firma yang mempunyai WTD hendaklah menyerahkan WTD tersebut kepada Pendaftar dengan mengisikan borang UMA-3 sebanyak 1 salinan dan borang UMA-4 sebanyak 2 salinan berserta cek atas nama Akauntan Negara Malaysia.

  2. Syarikat atau firma yang mempunyai WTD melebihi 20 empunya dikehendaki mengemukakan borang UMA-3 berserta CD "read only mode" dalam format excel kepada Pendaftar.

  3. Serahan WTD kepada Pendaftar dan salinan borang UMA-3 kepada PNMB hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 31 Mac setiap tahun.

  4. Syarikat atau firma hendaklah menyimpankan salinan borang UMA-3 dan UMA-4 tersebut bagi tujuan rujukan dan pengesahan sekiranya terdapat tuntutan daripada empunya WTD kelak.

Hukuman Ketidakpatuhan Akta

Syarikat atau firma atau pegawainya yang gagal mematuhi peruntukan Akta, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda bagi setiap kesalahan atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 16 Akta WTD 1965 menjelaskan bahawa Pendaftar boleh mengenakan kompaun ke atas kesalahan dilakukan pada amaun tidak melebihi 50% dari denda maksimum bagi kesalahan tersebut dan pendakwaan tidak akan diambil bagi sesiapa yang membayar kompaun berkenaan.

Tuntutan Bayarab Balik Wang Tak Dituntut

Empunya atau mana-mana pihak yang dapat membuktikan beliau mempunyai hak di sisi undang-undang terhadap WTD, bolehlah membuat tuntutan di Pejabat Pendaftar pada bila-bila masa sahaja.

Bagi tujuan bayaran balik WTD, Pihak yang mengemukakan tuntutan perlu menyerahkan borang UMA-7 dan dokumen sokongan yang diperlukan oleh Pendaftar.

Borang Yang Digunakan

Senarai borang yang digunakan bagi serahan WTD dan bayaran balik WTD sepertimana berikut:

RUJUKAN BORANG

PENGGUNAAN

BIL SALINAN

PIHAK YANG TERLIBAT

UMA-3

Daftar WTD

  • Maklumat senarai empunya WTD

4

Pendaftar (1)

PNMB (2)

Syarikat / Firma (2)

UMA-4

Borang Serahan WTD dengan borang UMA-3

  • Maklumat syarikat atau firma & cek bayaran

3

Pendaftar (2)

Syarikat / Firma (1)

UMA-7

Permohonan Bayaran Balik WTD

  • Maklumat empunya & dokumen sokongan

1

Pendaftar (1)

Pertanyaan

Untuk maklumat lanjut mengenai peruntukan Akta Wang Tak Dituntut 1965 atau tuntutan bayaran balik WTD, sila hubungi pihak Pendaftar sepertimana berikut:

Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti
Jabatan Akauntan Negara Malaysia
Tingkat 42 Menara Maybank
100 Jalan Tun Perak
50050 Kuala Lumpur
 
Telefon : 03 - 2034 1850
Faks : 03 - 2072 5707 / 03 - 2026 7430

Waktu Urusan:

Isnin - Jumaat
7.30 pagi - 5.30 petang
Sabtu - Ahad : Cuti
 

Disediakan oleh:

Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti (BPAS)

Dimuat naik pada : 12 Mac 2010